01 Januari 2010

Majalah Katolik Herald boleh guna perkataan 'Allah'

KUALA LUMPUR: Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.

Mahkamah itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan "Allah".

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan itu. - Bernama

(sumber: harian metro)

Tarikh peperiksaan awam 2010

KUALA LUMPUR 31 Dis. — Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 21 hingga 23 Sept. tahun depan sebagai tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 5 hingga 12 Okt. tahun depan sebagai tarikh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berlangsung pada 22 Nov. hingga 16 Dis. tahun depan dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) pada 22 dan 23 Jun tahun depan.

Katanya, peperiksaan lisan Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai, manakala peperiksaan bertulis pada 18 hingga 27 Okt. tahun depan.

"Tarikh tersebut mengambil kira keperluan cuti bagi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Malaysia, Deepavali, Hari Raya Haji dan Awal Muharam sepanjang tempoh peperiksaan,” katanya. - Bernama

(sumber: utusan malaysia)

Gula naik 20 sen mulai esok

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menaikkan harga gula di seluruh negara sebanyak 20 sen mulai esok, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Md Zain Md Dom, sebentar tadi.

Ketika ini, harga gula di pasaran tempatan adalah RM1.45 sekilogram.

Kenaikan itu menjadikan harga gula di Semenanjung bermula 12 tengah malam ini, RM1.65 sekilogram manakala RM1.75 bagi Sabah dan Sarawak.

(sumber: Berita Harian)