04 Disember 2010

Kata Menteri.....

Gelombang kedua beri kesan minimum: Idris

PUTRAJAYA - Gelombang kedua rasionalisasi subsidi dijangka memberikan impak yang sangat kecil ke atas inflasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, negara tidak mahu melihat situasi yang serupa dengan situasi pada 2008 dan 2009.

Beliau berkata demikian pada satu taklimat khas bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai gelombang kedua pengurangan subsidi yang diumumkan, di sini, semalam.

Kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula, berkuat kuasa hari ini, sebagai langkah keduanya dalam program rasionalisasi subsidi beransur-ansur.

"Bagaimanapun, kerajaan, dalam mengotakan janjinya mengenai langkah menghentikan subsidi secara beransur-ansur agar tidak membebankan rakyat, terus mengekalkan harga subsidi ke atas perkara seperti petrol, tol, gula, tepung dan minyak masak. "Kerajaan menyuntik kira-kira RM24.5 bilion dalam bentuk subsidi tahun lalu atau tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Penunjuk bagi inflasi, Indeks Harga Pengguna (IHP) terbaru bagi Januari hingga Oktober meningkat 1.7 peratus kepada 113.8 berbanding 111.9 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Idris berkata, rasionalisasi subsidi kali ini akan membolehkan Malaysia mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak kira-kira RM1.18 bilion.

"Rasionalisasi subsidi pertama telah mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak lebih daripada RM750 juta," katanya.

Menurutnya, wang yang dapat dijimatkan itu akan disalurkan kepada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, dan menambah baik pengangkutan awam di bandar.

“Kita telah mengurangkan jenayah sejak Januari lalu, 16 peratus dan jenayah jalanan 38 peratus. Kita menggerakkan 14,222 polis ke kawasan-kawasan jenayah tinggi dan memasang 496 televisyen litar tertutup.

“Tahun ini, kita mengadakan 20 set tren Transit Aliran Ringan yang boleh membawa 2.4 juta penumpang. Kita akan memulakan operasi terminal bas baru di Bandar Tasek Selatan, Cheras, Januari tahun depan dengan kos kira-kira RM600 juta,” katanya.

Idris berkata, perubahan-perubahan kecil ini akan membantu Malaysia mencapai kedudukan tanggungjawab fiskal dan menghalakan negara ke arah mengurangkan defisit.

“Semua yang perlu kita buat adalah dalam konteks Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Bila kita bercakap tentang tahap defisit, ia bergantung kepada pendapatan yang kita peroleh dan kos yang boleh dikurangkan," katanya.

Katanya, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara daripada 5.3 peratus KDNK tahun ini kepada kurang daripada tiga peratus pada 2015. - Bernama