11 Januari 2010

Client oh Client...

Aku baru dikunjungi oleh seorang client yang merupakan adik kepada bekas staff aku semasa di tempat lama.

sebenarnya aku keberatan untuk menerima client nie kerana ini merupakan pertuduhan kedua beliau, iaitu section 376 Kanun kesiksaan. Pertuduhan yang pertama, beliau telah dilepaskan tanpa dibebaskan (sekiranya polis dapat bukti baru akan didakwa semula) dan sepatutnya itu merupakan yang terakhir untuk client nie tapi baru-baru  ini, abang kepada client aku nie bagitau

"En. Salman, adik saya kena charge lagi" kata abang client aku...
" Charge lagi?? kesalahan sama ker?? orang yang sama?? kata aku..
"takla orang lain, tapi saya rasa dia tak buat, macam kes aritu" kata abang client, masa mula-mula jumpa aku..

petang ini (11/01/2009), abang client tu datang semula jumpa aku;

"Dia buatla encik salman...." ujar abang client tu..
"erm..... " balas aku...
"dah tu nak wat camne??" tanya abang client..
"balik bincang ngan family pompuan tu la, kalau nak kawin bolehlah kita tangok camne, kalau tak mengaku salah jer la.." balas aku..

Bila mengenangkan ini kes kedua client aku tu untuk pertuduhan yang sama, aku jadi tawar hati.. tapi mengenangkan abang client aku tu bekas staff aku kat tempat lama, aku mungkin boleh nasihatkan apa yang patut, tapi untuk membantu beliau mungkin kena fikir balik..

Gugurkan tuntutan

Akhbar Herald-The Catholic Weekly perlu bersedia menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.

Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, langkah tersebut perlu untuk keamanan dan kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini.


‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.
‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.
‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Kelmarin, dua gereja – satu di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan satu lagi di Jalan Templer, Petaling Jaya – mengalami kebakaran manakala satu lagi juga di Petaling Jaya menerima ugutan.


Kejadian itu mendapat kecaman daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang selain turut mengundang reaksi serupa dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat gereja di Desa Melawati, semalam, mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain.


Sementara itu Clarence berkata, alasan sesetengah pemimpin Kristian bahawa kalimah Allah perlu dibenarkan hanya kerana ia sudah digunakan sejak sekian lama adalah tidak wajar.


Tegas beliau, Kristian di negara ini juga tidak sama seperti diamalkan di Indonesia, Mesir, Iraq atau Yemen kerana Malaysia mempunyai perlembagaan yang berbeza.


‘‘Tidak harus bagi kita mempertikai yang Allah biasa digunakan oleh masyarakat Kristian di negara luar kerana kita berada di Malaysia, jadi kita harus patuhi semua undang-undang dan peraturan.


‘‘Adakah kalau kita atau pihak gereja tidak gunakan perkataan Allah maka secara tiba-tiba para pengikut agama Kristian akan bertambah atau berkurang 10 kali ganda,” soalnya.


Beliau sedar ramai penganut Kristian akan mengkritik pendiriannya tetapi mereka perlu faham dan menghayati ajaran agama itu yang menyuruh pengikutnya memaafkan orang lain.


“Jika kita benar-benar Kristian, kita harus jadi orang yang memaafkan, bertanggungjawab dan cintakan keamanan. Kenapa kita harus bergaduh untuk satu perkataan,” ujarnya.


Clarence yang juga Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah berkata, umat Kristian perlu faham mengapa orang Islam amat marah apabila kalimah itu dibenarkan penggunaannya.


Jelasnya, Allah adalah Tuhan bagi orang Islam manakala orang-orang Kristian pula lain kepercayaannya dan kalimah itu juga sudah lama digunakan secara tradisinya oleh agama Islam.


(sumber : Utusan Malaysia)

08 Januari 2010

Insiden bakar gereja dikutuk

KUALA LUMPUR: Insiden membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini malam tadi, disifatkan sebagai amat mendukacitakan dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata perbuatan mencemar dan merosakkan rumah ibadat milik agama apa sekalipun, perlu dikutuk.

"Pihak polis dan semua peringkat masyarakat perlu sama-sama bertanggungjawab dan berusaha supaya insiden seperti ini tidak merebak dan mengancam kestabilan dan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdullah berkata, rakyat Malaysia perlu melindungi dan memelihara kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian dan hubungan baik di antara kaum dan agama," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang mengutuk tindakan itu menyifatkan ia adalah satu peristiwa yang cukup menyedihkan dan ia tidak patut berlaku di Malaysia.
"Saya minta polis membuat siasatan dengan cepat. Memang tidak dinafikan berlaku sedikit ketegangan kerana isu Allah dipermainkan, jadi saya minta semua bertenang. Dalam negara kita yang majmuk, sedikit cetusan boleh menimbulkan kemarahan.

"Saya datang ke sini pada hari ini sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira parti," katanya yang ditemui semasa melawat gereja Metro Tabernacle itu.

Beliau mahu semua pihak mengutuk tindakan membakar gereja dan meminta rakyat bersama-sama untuk menderma bagi membaiki semula rumah ibadat terbabit.

Khairy turut menafikan perkara itu membabitkan ahli Umno dan polis menyaisat.
Kolumnis dan aktivis, Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir, berkata Islam tidak menggalakkan seseorang itu melakukan kejahatan.

"Ini bukan satu tindakan secara Islam...dan jika benar-benar menghayati ajaran Islam, bukan begini caranya melepaskan geram," katanya yang turut meninjau gereja itu.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang juga hadir, terkejut serta kecewa dengan kejadian itu dan berharap tiada pihak tuduh-menuduh siapa ataubangsa yang bertanggungjawab.

"Saya meminta supaya kita jangan meragui bangsa-bangsa lain kerana kejadian ini dilakukan oleh penjenayah. Kerajaan mesti mengambil langkah segera untuk pertahankan rumah ibadat. "Kehilangan harta benda bukanlah satu masalah, apa yang penting kita tidak mahu perkara ini berlarutan," katanya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, yang turut melawat gereja itu berkata tindakan membakar rumah ibadat bertentangan dengan budaya dan nilai murni masyarakat Malaysia.

Beliau yang juga Naib Presiden MCA, berkata sebarang isu boleh diselesaikan melalui saluran yang sesuai dan semua rakyat perlulah bekerjasama untuk membanteras kejadian seperti ini.

"Saya percaya hampir 99.9 peratus mengutuk usaha yang cuba menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, pemimpin gereja Metro Tabernacle, Mejar (B) Peter Yeow, berkata beliau mendapat panggilan telefon mengenai kebakaran itu pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, bahagian yang terbakar ialah tingkat bawah bahagian pentadbiran bangunan yang berusia 12 tahun itu. - Bernama

(sumber: Berita Harian)

Kanak-kanak bising di masjid..

assalamualaikum..

Hari ini (8.1.2010), aku bersembahyang jumaat di Masjid Bukit Sekilau, memang kebiasaannya aku solat di sana sejak buka firma sendiri ini.

seperti kebiasaannya, kanak-kanak juga turut berada di masjid untuk menunaikan solat jumaat, namun apa yang aku kesali bila Khatib mula membacakan khutbah, kanak-kanak ini mula membuat bising. lagi kuat suara khatib membacakan khutbah, lagi kuat suara kanak-kanak ini.

sebenarnya bagus sekiranya dari awal kanak-kanak ini didekatkan dengan surau, masjid dan majlis-majlis ilmu nie tapi bila tiada siapa yang mengawasi kanak-kanak ini, mereka akan membuat bising dan akhirnya menganggu jemaah yang ingin beribadat.

pernah juga aku mendengar ada seorang ahli jawatankuasa masjid menegur kanak-kanak ini (bukan di Masjid Bukit Sekilau) untuk tidak membuat bising dan berkata "kalau nak buat bising pergi ke padang" tapi ada seorang ustaz pernah menegur dengan menyatakan bahawa sepatutnya kita tak menghalau budak-budak ni, tapi nasihat dengan baik. tapi budak-budak tetap budak-budak kita cakap hari ini, esok dia buat lagi.

cuma pada pendapat aku, apa yang patut adalah ibu bapa sendiri menasihatkan kanak-kanak ini supaya tidak membuat bising di dalam masjid. sebab ada ibu bapa yang "pantang" orang lain yang menegur anak mereka.

02 Januari 2010

Nenek terlanjur dalam bilik hotel

KUANTAN: Sambutan tahun baru kali ini pasti menjadi sejarah paling memalukan bagi seorang nenek lapan cucu berusia 54 tahun apabila ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 16 tahun lebih muda baru dikenali tiga bulan lalu.

Lebih memalukan, ketika serbuan dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kira-kira jam 7.20 pagi di sebuah hotel murah di Jalan Besar, di sini, semalam, pasangan terbabit dengan selamba memberi alasan sedang berbogel menyebabkan mereka lambat membuka pintu ketika diketuk.

“Takkan kami hendak buka pintu dalam keadaan bogel,” kata pasangan lelaki berusia 38 tahun berkenaan kepada anggota penguat kuasa yang hanya mampu menggelengkan kepala mendengarkan jawapan itu.

Malah ketika ditahan, nenek yang juga ibu tunggal beranak enam itu tanpa berselindung mengakui kesalahan dilakukan bersama pasangannya yang bekerja sebagai jurukimpal di bandar ini.
Ketika anggota penguat kuasa meminta kad pengenalan masing-masing bagi menahan mereka, wanita warga emas yang bekerja sebagai pembantu kedai itu merayu supaya dia dan pasangannya dibebaskan kerana malu jika anak dan cucu serta menantunya mengetahui perlakuan sumbangnya.

Ketua Penguat Kuasa Agama negeri, Ahmad Raffli Abdul Malek, berkata hasil siasatan dilakukan pihaknya, pasangan terbabit mengaku sudah melakukan hubungan seks ketika bermalam di hotel berkenaan.

Katanya, wanita terbabit juga mengaku baru mengenali pasangannya tiga bulan lalu dan merancang untuk berkahwin namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah kewangan.

“Nenek itu turut memaklumkan dia sudah menjanda selama enam tahun selepas kematian suami dan tinggal keseorangan di Kampung Kurnia, di sini. Pasangannya pula lelaki bujang berasal dari Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan turut mengakui bertemu malam kelmarin untuk menyambut tahun baru bersama sebelum mengambil keputusan memadu asmara di hotel berkenaan.

“Mengejutkan apabila nenek lapan cucu itu memaklumkan keputusan bermalam di hotel itu dibuat selepas bimbang diketahui orang kampung jika membawa pasangannya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui selepas operasi dinamakan ‘Ops Insaf’ itu tamat kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Raffli berkata, dalam operasi bermula jam 4 petang pada 31 Disember tahun lalu sehingga semalam, 58 ditahan kerana kesalahan berkhalwat.

Katanya, dalam operasi berkenaan 20 hotel murah dan rumah tumpangan yang menjadi tumpuan pasangan melakukan maksiat sekitar bandar ini diperiksa.

Katanya, semua pasangan ditahan dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

“Jika bersalah, mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, selain menumpukan kepada hotel dan rumah tumpangan operasi berkenaan turut dilakukan di sekitar kawasan tumpuan seperti Teluk Chempedak, Pantai Gelora, Taman Teruntum dan kawasan rekreasi Balok dalam usaha membasmi kegiatan maksiat.

“Dalam operasi di kawasan berkenaan, 25 ditahan membabitkan pelbagai kesalahan seperti berpakaian menjolok mata, minum arak dan berpeluk atau bercium di khalayak ramai,” katanya.

(sumber:- harian metro)

* macam mana nak kurangkan benda-benda macam nie, bila golongan yang berusia "SENJA" pun buat benda yang sama..

Cadang guna temu ramah ganti soal siasat

Pakar kriminologi, Akhbar Satar menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi menggunakan istilah 'soal siasat' dalam proses mengumpul fakta dan bukti daripada saksi atau suspek.


Menurut beliau, ia bagi mengelak salah tanggapan bahawa badan itu melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap pihak yang disoal siasat.

Sebaliknya, jelas beliau, mereka perlu memperluaskan penggunaan istilah 'temu ramah' bagi mengekalkan imej serta profesionalisme SPRM.

Malah, tegas beliau, dalam peraturan SPRM sendiri, istilah soal siasat sebenarnya tidak wujud.
"Teknik soal siasat lebih menjurus kepada kekerasan dan paksaan yang juga dipanggil peperangan psikologi.

"Bagi kes rasuah yang kebanyakannya melibatkan golongan elit, lebih sesuai digunakan istilah temu ramah di mana ia dijalankan dalam suasana selesa dan lebih berbentuk psikologi supaya suspek atau saksi berupaya bercakap benar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini Mahkamah Rayuan mengembalikan hak untuk menyoal saksi tanpa had masa kepada SPRM apabila membenarkan badan tersebut menjalankan siasatan melepasi waktu pejabat.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menetapkan SPRM hanya boleh melakukan soal siasat dalam waktu pejabat iaitu antara pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Bagaimanapun, keputusan berkenaan 'mengecewakan' Majlis Peguam dan pertubuhan itu meminta kerajaan membenarkan peguam menemani saksi yang dipanggil memberi keterangan oleh pegawai SPRM, sama seperti diamalkan oleh negara-negara maju.

Majlis Peguam percaya langkah itu secara tidak langsung dapat mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini seperti penderaan fizikal dan mental sekali gus mampu menjaga hak saksi tersebut.

Akhbar yang juga bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan menambah, semua pegawai penyiasat SPRM dihantar menjalani latihan khas termasuk di luar negara.

Katanya, mereka diajar pelbagai kemahiran psikologi termasuk penggunaan alat pengesan penipuan, iaitu poligraf.

"Dalam kes rasuah, kebanyakan saksi dan suspek merupakan golongan cerdik pandai.

"Justeru, kaedah paksaan atau pukul tidak sesuai dan pegawai SPRM juga bukan bodoh, daripada gaya bahasa tubuh badan saja mereka sudah tahu ada penipuan atau tidak," ujarnya

Tahun 2010...

Assalamualaikum..

Tahun 2010 telah pun tiba.. dengan ketibaan 2010 ini ternyata banyak benda yang perlu aku bertanggungjawab dan usahakan.. hhehehe..

erm.. 2010 juga menandakan anak yang didalam kandungan isteriku akan lahir.. suatu tanggungjawab yang besar.. insyaallah aku akan cuba besarkan dan didik anak yang bakal lahir dengan sebaik-baik didikan baik dari segi didikan agama dan juga pendidikan dunia..

2010 juga menandakan aku juga perlu lebih berusaha lebih lagi untuk memajukan Firma Guaman yang aku usahakan bersama rakan kongsi yang lain.

selain itu, perlu juga berusaha untuk memajukan perniagaan yang baru aku dan rakan kongsiku "saifuldin" usahakan iaitu Perniagaan Pencetakan, perniagaan yang baru kami usahakan ini harap-harap dapat memajukan ekonomi kami lagi..

01 Januari 2010

Majalah Katolik Herald boleh guna perkataan 'Allah'

KUALA LUMPUR: Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.

Mahkamah itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan "Allah".

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan itu. - Bernama

(sumber: harian metro)

Tarikh peperiksaan awam 2010

KUALA LUMPUR 31 Dis. — Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 21 hingga 23 Sept. tahun depan sebagai tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 5 hingga 12 Okt. tahun depan sebagai tarikh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berlangsung pada 22 Nov. hingga 16 Dis. tahun depan dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) pada 22 dan 23 Jun tahun depan.

Katanya, peperiksaan lisan Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai, manakala peperiksaan bertulis pada 18 hingga 27 Okt. tahun depan.

"Tarikh tersebut mengambil kira keperluan cuti bagi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Malaysia, Deepavali, Hari Raya Haji dan Awal Muharam sepanjang tempoh peperiksaan,” katanya. - Bernama

(sumber: utusan malaysia)

Gula naik 20 sen mulai esok

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menaikkan harga gula di seluruh negara sebanyak 20 sen mulai esok, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Md Zain Md Dom, sebentar tadi.

Ketika ini, harga gula di pasaran tempatan adalah RM1.45 sekilogram.

Kenaikan itu menjadikan harga gula di Semenanjung bermula 12 tengah malam ini, RM1.65 sekilogram manakala RM1.75 bagi Sabah dan Sarawak.

(sumber: Berita Harian)