08 Januari 2010

Insiden bakar gereja dikutuk

KUALA LUMPUR: Insiden membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini malam tadi, disifatkan sebagai amat mendukacitakan dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata perbuatan mencemar dan merosakkan rumah ibadat milik agama apa sekalipun, perlu dikutuk.

"Pihak polis dan semua peringkat masyarakat perlu sama-sama bertanggungjawab dan berusaha supaya insiden seperti ini tidak merebak dan mengancam kestabilan dan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdullah berkata, rakyat Malaysia perlu melindungi dan memelihara kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian dan hubungan baik di antara kaum dan agama," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang mengutuk tindakan itu menyifatkan ia adalah satu peristiwa yang cukup menyedihkan dan ia tidak patut berlaku di Malaysia.
"Saya minta polis membuat siasatan dengan cepat. Memang tidak dinafikan berlaku sedikit ketegangan kerana isu Allah dipermainkan, jadi saya minta semua bertenang. Dalam negara kita yang majmuk, sedikit cetusan boleh menimbulkan kemarahan.

"Saya datang ke sini pada hari ini sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira parti," katanya yang ditemui semasa melawat gereja Metro Tabernacle itu.

Beliau mahu semua pihak mengutuk tindakan membakar gereja dan meminta rakyat bersama-sama untuk menderma bagi membaiki semula rumah ibadat terbabit.

Khairy turut menafikan perkara itu membabitkan ahli Umno dan polis menyaisat.
Kolumnis dan aktivis, Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir, berkata Islam tidak menggalakkan seseorang itu melakukan kejahatan.

"Ini bukan satu tindakan secara Islam...dan jika benar-benar menghayati ajaran Islam, bukan begini caranya melepaskan geram," katanya yang turut meninjau gereja itu.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang juga hadir, terkejut serta kecewa dengan kejadian itu dan berharap tiada pihak tuduh-menuduh siapa ataubangsa yang bertanggungjawab.

"Saya meminta supaya kita jangan meragui bangsa-bangsa lain kerana kejadian ini dilakukan oleh penjenayah. Kerajaan mesti mengambil langkah segera untuk pertahankan rumah ibadat. "Kehilangan harta benda bukanlah satu masalah, apa yang penting kita tidak mahu perkara ini berlarutan," katanya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, yang turut melawat gereja itu berkata tindakan membakar rumah ibadat bertentangan dengan budaya dan nilai murni masyarakat Malaysia.

Beliau yang juga Naib Presiden MCA, berkata sebarang isu boleh diselesaikan melalui saluran yang sesuai dan semua rakyat perlulah bekerjasama untuk membanteras kejadian seperti ini.

"Saya percaya hampir 99.9 peratus mengutuk usaha yang cuba menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, pemimpin gereja Metro Tabernacle, Mejar (B) Peter Yeow, berkata beliau mendapat panggilan telefon mengenai kebakaran itu pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, bahagian yang terbakar ialah tingkat bawah bahagian pentadbiran bangunan yang berusia 12 tahun itu. - Bernama

(sumber: Berita Harian)

Kanak-kanak bising di masjid..

assalamualaikum..

Hari ini (8.1.2010), aku bersembahyang jumaat di Masjid Bukit Sekilau, memang kebiasaannya aku solat di sana sejak buka firma sendiri ini.

seperti kebiasaannya, kanak-kanak juga turut berada di masjid untuk menunaikan solat jumaat, namun apa yang aku kesali bila Khatib mula membacakan khutbah, kanak-kanak ini mula membuat bising. lagi kuat suara khatib membacakan khutbah, lagi kuat suara kanak-kanak ini.

sebenarnya bagus sekiranya dari awal kanak-kanak ini didekatkan dengan surau, masjid dan majlis-majlis ilmu nie tapi bila tiada siapa yang mengawasi kanak-kanak ini, mereka akan membuat bising dan akhirnya menganggu jemaah yang ingin beribadat.

pernah juga aku mendengar ada seorang ahli jawatankuasa masjid menegur kanak-kanak ini (bukan di Masjid Bukit Sekilau) untuk tidak membuat bising dan berkata "kalau nak buat bising pergi ke padang" tapi ada seorang ustaz pernah menegur dengan menyatakan bahawa sepatutnya kita tak menghalau budak-budak ni, tapi nasihat dengan baik. tapi budak-budak tetap budak-budak kita cakap hari ini, esok dia buat lagi.

cuma pada pendapat aku, apa yang patut adalah ibu bapa sendiri menasihatkan kanak-kanak ini supaya tidak membuat bising di dalam masjid. sebab ada ibu bapa yang "pantang" orang lain yang menegur anak mereka.